Assalammualaikum.....hari nie saya nak kongsi sesuatu yang saya rasa amat bermanfaat especially untuk kita yang beragama Islam, saya harap entri untuk kali ini akan memberi iktibar dan pengajaran yang berguna untuk anda semua dan juga untuk diri saya juga tentang betapa pentingnya kita sebagai seorang Muslim menjaga solat dalam kehidupan seharian kita di dunia nie...Mudah-mudahan kita semua tergolong dalam golongan orang-orang yang mendapat rahmat dan hidayah daripada Allah S.W.T..Amin.....
Baiklah, saya teruskan dengan entri utama pada hari ini yang berkaitan dengan 8 jenis solat orang Islam pada zaman sekarang iaitu :
1. Solat Ikut - ikutan
Solat ini dilakukan secara zahir sahaja, solat secara membuta tuli ,solat tanpa mengetahui hukum hakam solat.
Solat ini adalah solat orang durhaka dan mendapat kemurkaan Allah S.W.T di dunia dan akan diazab oleh Allah S.W.T di akhirat kelak.
2. Solat Ikut Mood
Solat orang yang tahu hukum-hakam solat tetapi tidak melawan kehendak hawa nafsu selepas menunaikan solat. Kebanyakkan umat Islam zaman sekarang solat sebegini.
Mereka solat tetapi mereka juga buat dosa, mereka solat tetapi mereka membuka aurat dan berpakaian seksi, mereka solat tetapi mereka turut berzina dan minun arak serta berjudi, mereka solat tetapi mereka juga memakai gelang kaki, mereka solat tetapi mereka menagih dadah.
Bagi mereka solat adalah perkara biasa dan buat maksiat juga adalah perkara biasa.Mereka tidak menjadi sunnah Rasulullah S.A.W sebagai panduan tetapi mereka jadikan Allah S.W.T sebagai patung yang bertugas sebagai pengampun dosa mereka. Mereka hanya beriman kepada Al-Quran beberapa ayat sahaja di antaranya, " Allah S.W.T Maha Pengampun dan Maha Penyayang, maka mereka berpeluang melakukan apa sahaja perkara durjana dan '' Allah S.W.T tetap mengampunkan dosa kecuali dosa syirik ".
Oleh yang demikian pada anggapan mereka, mereka tidak pernah melakukan syirik padahal kehidupan mereka sentiasa dipenuhi dosa syirik khafi, yang mana pada hakikat yang sebenarnya, mereka telah melakukan syirik besar tanpa mereka sedari.
3. Solat Orang yang Lalai
Solat golongan ini adalah solat mereka yang tidak mencintai Bahasa Allah S.W.T, mereka menjadikan Bahasa Allah S.W.T sebagai bahasa arab, sedangkan mereka tidak dapat membezakan antara Bahasa Al-Quran dengan Bahasa Arab. Bahasa Al-Quran yang Allah S.W.T turunkan dalam Al-Quran Al-Karim adalah istilah-istilah yang amat tinggi yang perlu dikupas dengan kupasan atau tafsir atau penerangan melalui hadis. Jika seseorang dapat mengamati Bacaan Ayat-ayat suci Al-Quran Al-Karim pasti orang tersebut tidak akan lalai di dalam solat kerana orang tersebut sedang mengungkap Bahasa Allah S.W.T bukan Bahasa Arab.
Orang yang memahami Bahasa Allah S.W.T akan menjadikan dirinya kagum dan suci semasa melafazkan setiap huruf-huruf Al-Quran Al-Karim. Jasad dan Rohnya akan berintreraksi dengan Allah S.W.T semasa solat. Solat orang sebegini tidak akan lalai tetapi solat orang yang lalai adalah solat yang mereka kerjakan sebagai adat budaya bangsa mereka dan sebagai pesta ibadat kepada Allah S.W.T yang bercampur dengan berbagai Misi dan Visi.
4. Solat Awam
Solat golongan yang cukup syarat, tahu bahasa arab, tahu fadhilat, tahu doa dan sempurna segala bacaan berkaitan dengan solat. Semasa solat mereka masih terselit tujuan solat yang bermatlamatkan pahala, syurga, bidadari dan sebagainya.
Mereka tidak akan solat jika tidak dibalas dengan pahala, syurga, bidadari dan sebagainya. Mereka akan mempertikaikan janji Allah S.W.T yang termaktub didalam Al-Quran Al-Karim. Mereka masih merasakan mereka lebih besar daripada Allah S.W.T dan mampu mendakwa dan memerintah Allah S.W.T untuk melaksanakan segala janji-janji Allah S.W.T kepada mereka.
5. Solat Orang yang Kurang Khusyuk
Golongan ini mampu mencapai khusyuk di dalam solat tetapi bukan sentiasa dalam keadaan sedemikian, namun kadang-kala khusyuk. Solatnya masih khayal dan teringatkan urusan dunia diluar solat, mereka insaf dan sedar tetapi hatinya tidak putus dengan urusan dunia.
Golongan ini masih lemah iman dan masih bertuhankan hawa nafsu pada hakikatnya. Golongan ini masih memerlukan Mujahadah untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.
6. Solat Orang Soleh
Golongan ini solat dengan penuh keilmuan, memahami lafaz-lafaz Allah S.W.T yang termaktub didalam Al-Quran Al-Karim, hati dan jasadnya telah dekat dengan Allah S.W.T. Urusan dunia tidak mampu melalaikannya kepada Allah S.W.T. Kekayaan dunia dan pangkat yang dimilikinya di luar solat tidak akan menjauhkan dirinya daripada Rumah Allah S.W.T. Malah Pangkat dan Kekayaan dunia yang dimilikinya makin mendekatkan dirinya kepada Allah S.W.T. Hati dan lidahnya sentiasa memuji Kebesaran Allah S.W.T sehingga Allah S.W.T menggelarkan mereka dengan gelaran “ Al-Abrar atau Ashabul Yamin” .
7. Solat Golongan Al-Muqarrabin
Solat golongan ini adalah solat yang ditunaikan dengan penuh kenikmatan dan hubungan mereka semasa solat amatlah Indah. Mereka terlalu dekat dengan Allah SWT semasa solat, sujud dan tasbih sentiasa mengiringi setiap gerak geri hati dan pergerakkan mereka semasa solat dan diluar solat.
Solat adalah peluang terbaik untuk mereka memuja Allah S.W.T, mereka hanya memuja Allah S.W.T. Mereka tidak memuja dunia, pangkat dan wanita, setiap pekerjaan dunia mereka, merek akan olahkan menjadi syariat dan satu kefardhuan atau kewajipan yang mesti selaras dengan kehendak Allah S.W.T.
Tiada politik kepentingan peribadi dan tiada menjadikan Islam dan Allah S.W.T sebagai barang dagangan yang boleh dijual beli. Segala-galanya daripada Allah S.W.T dan mesti dikembalikan kepada Allah S.W.T. Kita sebagai manusia yang lemah tidak layak memiliki sesuatu kerana segala-galanya adalah milik allah S.W.T.
Golongan ini Allah SWT anugerahkan pangkat “Al-Muqarrabin”.
8. Solat Golongan As-Siddiq
Golongan ini adalah golongan yang tertinggi kedudukannya di sisi Allah S.W.T. Solat adalah talian hayat hidup mereka. Semua kandungan hikmah didalam solat dizahirkan kealam fana. Unsur puasa didalam solat, unsur khusyuk, unsur kesucian, unsur pemujaan dan sebaginya dilahirkan atau dizahirkan didalam kehidupan seharian.
Akhlak semasa solat adalah sama akhlaknya di luar solat. Hati mereka sentiasa sejuk dan tenang. Segala kesakitan dan penderitaan akan hilang apabila dia mengadap Allah S.W.T atau semasa solat.
Segala ilmu dan teknologi yang manusia harapkan adalah milik mereka. Segala tindakan makhluk tidak akan memberi apa-apa kesan dalam kehidupannya. Sesungguhnya mereka telah mewakilkan Allah S.W.T dalam semua urusan, sama ada urusan dunia mahupun urusan Akhirat.
Golongan ini Allah SWT anugerahkan pangkat “As-Siddiq”.
p/s : Jadi macam mana, dah habis baca ke..rasa-rasanya ada tak dalam 8 jenis solat di atas yang terkena dengan diri anda...kalau saya, secara jujur masih banyak yang perlu saya perbaiki dalam solat saya, rasa masih banyak yang kurang...huhu..mudah-mudah saya dapat perbaikinya dan akan lebih khusyuk dan istiqomah dalam menunaikan ibadah yang wajib ini, Insya Allah...dan harap anda semua juga begitu agar kita semua tergolong dalam kalangan orang-orang yang benar....Amin.....jadi, Renung-renungkan dan selamat menunaikan solat.....^_^
0 Komen