Doa Rabitah Untukmu (✿◠‿◠)





YA ALLAH,
Engkau mengetahui hati-hati ini,
Telah berkumpul kerana mengasihi-Mu,
Bertemu untuk mematuhi perintah-Mu,
Bersatu memikul beban dakwah-Mu,
Hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariat-Mu,
Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya,
Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya,
Maka eratkanlah Ya Allah akan ikatannya,
Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini,
Akan jalan-Nya yang sebenar,
Penuhkanlah hati ini dengan cahaya Rabbani-Mu,
Yang tidak kunjung malap,
Lapangkanlah hati-hati ini dengan limpahan Iman dan keyakinan,
Dan keindahan tawakkal kepada-Mu,
Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan ma'rifat (pengetahuan sebenar) tentang-Mu,
Jika Engkau mentakdirkan mati,
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini,
Sebagai para syuhada dalam perjuangan agama-Mu,
Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong,
YA ALLAH,
Perkenankanlah permintaan ini."

Doa Rabitah Hati. 

Pasti ada yang sudah tahu tentang doa ini, ataupun sudah menghafalnya. Doa yang  biasanya dilafazkan dalam majlis-majlis ilmu sebagai penaut kepada hati-hati yang hadir pada ketika itu. Doa rabitah hati merupakan sebahagian daripada risalah Al-Mathurat. Doa rabitah ini istimewa berbanding dengan risalah-risalah yang lain kerana pertama, doa ini disusun untuk para aktivis dakwah agar mereka selalu mengingati prinsip-prinsip perjuangan, yang keduanya pula, doa ini bertujuan untuk menyatukan hati pada aktiviti dakwah, seterusnya yang ketiga ialah dengan doa ini kita memahami bahawa gerakan dakwah adalah jamaah iaitu wadah yang mengumpulkan hati-hati dan anggota fizikal dalam waktu yang sama, dan yang keempat ialah dengan doa ini kita memahami bahawa dakwah telah menyatukan para aktivis dari pelbagai generasi semenjak adanya kegiatan dakwah di muka bumi ini sehinggalah ke hati kiamat. 
Pasti ramai yang sudah mengetahui tentang keistimewaan doa rabitah ini namun adakah kita cukup sedar betapa besarnya erti doa ini.Malah adakah kita merasai kesannya setiap kali kita melafazkan doa ini?Sudah tentu ramai yang mengerti maksud doa ini kerana ramai yang telah berada dalam dunia tarbiyah, namun mengapa kesannya tetap negatif, seolah-olah tiada kesan. Di mana silapnya?
Mungkin juga pada dosa-dosa lama yang masih malas hendak dibuang telah menjadi karat yang menghalang hati-hati kita daripada menerima keindahan kesan doa ini?
Atau mungkin sahaja hati kita sendiri yang tidak pernah hadir setiap kali membaca doa ini. Mulut melafazkan tapi hati dan fikiran masa pada urusan dunia yang tidak pernah habis. 
Bukan tidak pernah melihat orang yang setiap hari duduk sama-sama membacakan doa rabitah hati namun, apabila habis tidak bertegur sapa. Ada juga yang duduk bersama-sama membaca doa ini namun perasaan dengki dan iri hati tetap ada dalam hati masing-masing.Mengapa hal sebegini terjadi, bukankah doa ini sepatutnya menjadi medium untuk kita merapatkan ukhuwah.
Mana hilang rasa keterikatan hati dan rasa kasih dan cinta 'ukhuwah fillah' yang kita lafazkan selama ini? Bukankah doa rabitah yang kita baca itu dapat mengikat hati-hati kita agar saling terikat? Benar, doa rabitah inilah yang menjadi pengikat hati-hati antara kita namun jika hanya sekadar membaca sedangkan hati kita tidak hadir sama semasa kita melafazkan doa ini, pasti kesan tidak akan kita rasai. Oleh itu, bacalah doa ini dengan seikhlas hati, dan buanglah segala prasangka, hasad dan fikiran-fikiran negatif yang ada. Jika doa itu berkesan untuk kita, Allah s.w.t pasti akan menyatukan hati kita. 
Allah S.W.T telah berjanji bukan?
"Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana" (surah Al-Anfal: ayat 63)
Jika kita dapat merasai kesan doa rabitah ini, pasti setiap kali kita berjauhan dengan sahabat-sahabat, kita akan merasa rindu untuk sama-sama duduk mendengar kisah Allah S.W.T, apabila dekat terasa seolah-olah tidak mahu berpisah, apabila terpesong  sama-sama mengingatkan agar kembali semula ke jalan Allah S.W.T. Lihat, betapa hebatnya kekuatan doa rabitah hati ini.
Begitulah pentingnya hati-hati kita ini agar saling terikat agar kita dapat sama-sama berjuang di jalan Allah S.W.T. Sesungguhnya Allah S.W.T menyukai orang-orang yang berjuang di jalanNya dalam barisan yang tersusun, kerana Allah S.W.T tahu payahnya perjuangan ini, Allah S.W.T tidak menyuruh kita berjuang bersendirian.
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh"(surah As-Saf: ayat 4)
Sangat indah bukan jika kita dapat sama-sama merasai keterikatan hati yang Allah S.W.T berikan. Kata Iman Nawawi, "Aku mencintaimu kerana agama yang ada padamu. Jika kau hilangkan agama dalam dirimu, hilanglah kecintaanku padamu."


You Might Also Like

2 Komen

  1. entry yang sangat bermanfaat buat org yg embaca..terima kasih kerana b erkongsi ilmu...=)

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah..sama-sama...terima kasih kerana sudi membaca..:)

    ReplyDelete