♥ INDAHNYA BERUSRAH ♥



Assalammualaikum wtb

Selamat petang..baiklah, entri hari ini bukanlah hendak bercerita tentang cinta ataupun yang berkaitan dengannya tetapi ingin berkongsi tentang usrah..Mungkin ramai yang sudah sedia maklum apa itu usrah, tapi biarlah saya berkongsi sedikit pengetahuan dan juga pengalaman tentang usrah..Insya Allah, mungkin dengan sedikit perkongsian ini  boleh membawa manfaat kepada semua.




Apa itu usrah??

Perkataan "USRAH" berasal daripada perkataan bahasa Arab yang bererti keluarga. Jelas bukan, penggunaan istilah usrah menunjukkan adanya hubungan ataupun ikatan persaudaraan sesama manusia.

Dalam konteks Harakah Islamiyah pula, Usrah bererti satu unit keluarga yang diikat oleh kesatuan Akidah, kesatuan pemikiran , kesatuan kesedaran tentang persamaan sejarah dan nasib dan kesatuan cita-cita perjuangan untuk berkerjasama dan bantu-membantu dalam memperkukuhkan ja'maah Islam dari pelbagai sudut bagi membolehkan kerja-kerja amal ja'maiy dan amal islami dilaksanakan dengan teratur sehingga tertegaknya Daulah dan Khilafah Islamiyah. (sumber : fikrah.interaktif.tripod.com)

Dari segi maksud, mungkin kelihatan amat rumit dan sukar untuk difahami tapi apa yang saya faham adalah, usrah itu seperti sebuah unit keluarga,  yang saling memerlukan dan melengkapi antara satu dengan yang lain. Apabila seseorang ahli berada dalam kesusahan, ahli yang lain juga turut merasa yang sama dan akan cuba membantu. Mungkin setiap individu punya tafsiran yang berbeza namun walau apa sahaja maksudnya, perlu kita ingat bahawa niat kita mengikuti  usrah  itu  adalah semata-mata kerana Allah S.W.T.

Tujuan Usrah??

Mungkin masih ada yang belum jelas apa sebenarnya tujuan usrah yang sebenarnya. Seperti yang sedia maklum, apa-apa pun dalam hidup kita ini ada tujuannya, contohnya macam belajar. Tujuan kita belajar adalah untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Begitu juga dengan usrah yang mempunyai tujuannya iaitu,

✿ Mendidik hati para anggota untuk menjadi manusia yang  taat kepada Allah S.W.T.

Menghubungkan anggota secara langsung dengan ajaran Al-Quran dan Al-Sunnah.

 Mengiltizamkan anggota dengan akhlak Al-Quran supaya dapat mematuhi perintah 
Allah S.W.T. dan larangannya.

 Menjadikan Rasul dan para sahabat sebagai ikutan dalam kehidupan seharian

✿ Melatih supaya berfikiran dan bertindak selari dengan apa yang telah diajar oleh Allah S.W.T. dan Rasul.

✿  Sentiasa bermulazamah dengan Al-Quran dan Hadith


Itulah antara tujuan usrah, sudah jelas bukan? Setiap apa pun yang kita lakukan, pastinya memerlukan tujuan. Seterusnya, bagaimana pula dengan rukun usrah. Tidak lengkap kiranya jika kita tidak mengetahui rukun-rukun usrah. Terdapat 3 rukun usrah iaitu,

KENAL  ( AL-TA'ARUF)
 Berkenalan antara satu sama lain merupakan rukun usrah yang pertama. Setiap ahli usrah hendaklah saling mengenali antara satu sama lain agar ikatan ukhuwah yang sejati akan terjalin.

FAHAM ( AL-TAFAHUM)
Rukun yang kedua iaitu faham atau tafahum. Setiap ahli usrah hendaklah selama-lamanya berpegang dengan kebenaran iaitu, melaksanakan perintah Allah S.W.T. dan meninggalkan laranganNya.

SEIMBANG ( AL-TAKAFUL)
Seimbang merupakan dasar memelihara kasih sayang sesama ahli usrah supaya tidak ada yang tersisih atau terbiar. Oleh itu, setiap ahli hendaklah mengambil dasar takaful ini dengan cara yang bersungguh-sungguh untuk bersama-sama menolong memikul beban sesama sendiri. Rukun ini dapat dilaksanakan dengan cara bertanyakan khabar sesama sendiri, ziarah-menziarahi dan sebagainya.

Itulah antara rukun-rukun usrah yang menjadi asas kepada sesuatu usrah itu. Kejayaan sesebuah keluarga tidak mungkin dapat dicapai jika anggotanya tidak memahami dan menghayati segala tuntutan dan rukun-rukun yang mengikat mereka sebagai sebuah keluarga. Begitu juga dengan usrah, tujuan usrah yang sebenarnya tidak mungkin dapat dicapai jika setiap ahli tidak memahami rukun usrah. Jika rukun-rukun ini dijaga dan dipelihara dengan baik, Insya Allah, kumpulan usrah berkenaan akan menjadi kuat dan ikatan ukhuwah yang terbina akan lebih kukuh.

Baiklah, itulah serba sedikit info mengenai usrah. Sudah jelas sekarang, bukan? Ataupun masih ada yang terpinga-pinga mencari jawapan ataupun kepastian..

Tidak perlulah anda merasa risau ataupun segan untuk mengikuti usrah kerana sudah pasti banyak manfaatnya yang bakal diperolehi jika kita ikhlas untuk mengikutinya. Saya juga ada kumpulan usrah sendiri, dan alhamdulillah sudah hampir setahun lebih saya mengikuti usrah. Berdasarkan dari pengalaman-pengalaman sepanjang mengikuti usrah, terdapat banyak ilmu yang telah saya ketahui dan pelajari.

Pengalaman sepanjang berusrah bersama-sama sahabat-sahabat usrah saya telah melakarkan pelbagai saat-saat manis dalam kehidupan saya. Pelbagai perkara telah saya lalui sewaktu mengikuti usrah bersama-sama mereka, walaupun mungkin saya hanya mampu menjadi pendengar yang setia, tapi mereka memahami saya.

Tidak pernah terbayang betapa beruntungnya saya menemui mereka, dan bersyukurnya saya kepada Allah S.W.T kerana membuka hati saya untuk mengikuti usrah bersama-sama mereka. Mudah-mudahan, pencarian saya ini bukanlah sementara,  kerana masih banyak lagi yang ingin saya pelajari dan ketahui melalui USRAH.



p/s: Kalau nak cerita pasal pengalaman berusrah sampai esok pun tak habis mungkin..hehe..so, saya stop kat sini ja lah ya..dapat cerita sikit pun dah kira oklah kan...hehe...siapa cakap usrah tak best?...kalau nak tau, rajin-rajinkan lah diri join usrah..tak rugi pun...oklah, sekian sahaja untuk hari ini..moga-moga perkongsian ini bermanfaat untuk semua....untuk geng usrahku, saya sayang anda semua!..terima kasih....wassalam

You Might Also Like

0 Komen