Bibir Tersenyum,(◠‿◠) Hati Menangis (╯_╰)



Saat hati merasa sedih dan kecewa, bibir masih mengukir sebuah senyuman. Tetap terus tersenyum, tersenyum dan tersenyum biarpun hati dilanda kesedihan. Pernahkah anda merasa sebegini ataupun berhadapan dengan keadaan seperti ini? Mungkin terdapat individu yang lebih selesa untuk menyembunyikan perasaan sedihnya daripada pengetahuan orang lain. Mereka cuba menyembunyikan perasaan sedih itu dengan senyuman yang dilemparkan. Mereka bukanlah individu yang lemah, namun cukup tabah untuk menghadapi musibah ataupun kesedihan yang sedang dilalui.



Setiap orang mempunyai cara yang berlainan untuk mereka menginterprestasikan kesedihan yang dirasai. Ada individu yang lebih selesa untuk melepaskan sahaja kesedihan tersebut tanpa perlu berselindung, mungkin dengan cara menangis ataupun menjerit sekuat hati. Dan terdapat juga individu yang lebih suka berkongsi kesedihan dengan orang lain, samaada keluarga terdekat ataupun sahabat. Mungkin, dengan cara ini, sedikit sebanyak mampu mengurangkan kesedihan yang ditanggung oleh mereka. 

Namun, bagaimana pula dengan individu yang lebih suka untuk menyembunyikan kesedihan mereka? Adakah mereka mampu menghadapi kesedihan itu secara bersendirian. Tidak kiralah walau sekuat mana sekalipun kita cuba untuk menghadapi kesedihan itu bersendirian, tidak bolah dinafikan yang kita juga memerlukan seseorang sebagai tempat untuk kita berkongsi suka duka. Seseorang yang memahami dan sudi mendengar luahan hati kita. 

Kita ingin sentiasa kelihatan gembira di hadapan orang lain walaupun kita sebenarnya sedang bersedih. Memang kelihatan mudah, hanya dengan senyuman namun dalam hati siapa yang tahu. Hanya Allah S.W.T. sahaja yang tahu segala-galanya yang kita sedang lalui. Oleh kerana itu, sebaik-sebaik pendengar adalah Allah S.W.T, Yang Maha Mendengar. Sentiasa mendengar luahan hamba-hambaNya. Mengapa tidak kesedihan yang sedang kita rasai itu kita kongsikan sahaja dengan Allah S.W.T. Tidak perlulah kita bersembunyi, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui. Luahkan semua kesedihan itu kepadaNya, kerana disebalik musibah dan kesedihan itu mungkin Allah S.W.T. telah selitkan kebaikan. Bukankah di sebalik kejadian itu ada hikmahnya.

Ketika bibir tersenyum, pastikan juga hati ikut tersenyum sekali. Tidak perlulah kesedihan itu disimpan lama-lama. Tidak rugi jika kita lupakan kesedihan itu dan mulakan kehidupan yang baru. Kehidupan yang lebih ceria, tanpa senyuman yang hanya sekadar menutup kesedihan yang dirasa. Melupakan kesedihan dan kekecewaan mungkin bukanlah perkara yang mudah namun tanya pada hati sampai bila kita ingin terus bersedih.

Percaya dan yakinlah pada ketentuan Allah S.W.T. Diuji dengan kesedihan, ditimpa dengan pelbagai musibah dan sebagainya adalah satu salah ujian daripada Allah S.W.T. Ingin melihat sejauh mana kita sebagai hamba-hambaNya mampu bertahan dengan ujian tersebut, ingin menguji sejauh mana cintanya kita kepadaNya kerana manusia hanya mahu mengingatiNya di saat ditimpa kesusahan dan menjauh dariNya apabila beroleh kesenangan. Begitulah sikap manusia, adakala terleka. Oleh kerana itu, Allah S.W.T menguji manusia dengan sedikit kesusahan agar mereka ingat kembali kepadaNya. Wa'allahualam..

p/s :  saya selalu cuba nak gembirakan hati dengan senyuman walaupun sebenarnya tengah sedih.. tak tau kenapa, mungkin saya termasuk individu-individu yang suka senyum, tapi hati menangis kot..cheewaah...nak feeling hot lah konon nie..haha...apapun tak baik tau sorok-sorok kesedihan tu, kalau sedih..nangis ja lah, buat apa nak simpan-simpan kan..hehe....oklah, sekian sahaja entri kali ini...thank you for reading....Assalammualaikum wtb.



You Might Also Like

0 Komen