Tatkala Masa Berlalu,Yang Tinggal Hanya Kenangan....
- January 20, 2013
- By Unknown
- 0 Comments
Kenangan…Ada apa dengan kenangan? Adakah ia cukup penting dalam kehidupan. Ya, mungkin juga bermakna untuk
hidup seseorang tetapi mungkin juga tidak . Tiada siapa yang tahu kenangan
hidup setiap orang melainkan diri orang itu sendiri kerana setiap orang
mencipta kenangan yang berbeza-beza. Sudah pasti ada kenangan yang manis untuk
dilupakan namun tidak lengkap rasanya jika tidak terselit kenangan pahit yang pastinya
ingin dilupakan.
Detik-detik indah dalam hidup seseorang pastinya akan menjadi suatu
kenangan yang manis buat dirinya dan mungkin juga orang-orang di sekelilingnya.
Mencapai kejayaan dalam hidup, berjaya dalam pelajaran dan kerjaya, memiliki
keluarga dan sahabat-sabahat yang menyayangi, dan dianugerahkan dengan segala
macam bentuk kesenangan sudah tentunya merupakan detik terindah buat seseorang.
Namun bagaimana pula dengan kegagalan dalam hidup, kehilangan orang yang
tersayang, dan ditimpa kesusahan pastinya merupakan suatu detik yang amat
memeritkan bagi seseorang dan ia juga akan menjadi suatu kenangan yang pahit
dalam lipatan perjalanan hidupnya.
Seperti musim yang silih berganti, masa juga pasti akan berlalu. Hari berganti
hari, segala apa jua yang kita telah lalui pada hari ini sudah tentunya akan
menjadi satu kenangan apabila kita bangun semula pasti keesokan harinya. Manis
mahupun pahit sekalipun kenangan yang kita cipta pada hari ini, kehidupan harus
tetap berjalan selagi nafas masih belum terhenti. Oleh
itu, tiada apa yang perlu kita kesali kerana apa jua yang telah berlaku
pastinya telah tertulis sesuai dengan perancanganNya.
Belajar untuk menerima yang hakikat hidup tidak selalunya senang, ada
masanya kita akan ditimpa dengan
kesusahan. Dari situ kita diuji sejauh mana kebergantungan kita kepada
sang Pencipta. Mungkin hari ini kita gagal, tetapi siapa tahu nasib kita di
masa hadapan. Mungkin juga hari ini kita berjaya, namun lain pula kejadiaannya
di lain hari. Tiada siapa dapat menduga nasib hidup masing-masing. Tetapi ingat bahawa hidup ini ibarat roda, terus berputar. Ada masanya kita di
atas, dan ada masa kita berada di bawah.
Oleh itu, apa jua kenangan yang telah kita cipta pada hari ini, sama ada
ianya pahit ataupun manis, terimalah dengan hati yang lapang. Bersangka baik
dengan ketentuan Allah SWT. Mungkin juga apa yang kita inginkan bukan yang
terbaik untuk kita. Oleh kerana itu, Allah tidak memberikan apa yang kita
ingini sebaliknya Dia anugerahkan apa yang selayaknya untuk kita. Meratapi kenangan lalu yang pahit pastilah bukan jalan yang
terbaik untuk kita bebas dari belenggu bebanan. Sebaliknya, merasa bersyukur
dengan segala nikmat kurniaan Allah SWT dan sentiasa berusaha untuk
mendekatkkan diri kita dengan Allah SWT pasti akan membuatkan hidup kita lebih
tenang.
Apapun, kehidupan harus diteruskan. Dan apapun yang telah terjadi
sebelum itu, biarlah ia hanya menjadi kenangan sahaja. Jika kenangan itu pahit,
usahlah dikenang kerana kelak diri sendiri juga akan merasa sedih. Yang penting
adalah masa hadapan yang memberikan kita lebih peluang untuk mencipta kenangan-kenangan
yang lebih manis. Jadi, teruskan kehidupan dan yang penting sentiasa ingat Allah SWT
tika susah dan senang.
p/s: Bagi saya, kenangan terindah dalam hidup ini adalah ketika bersama
keluarga kerana di saat itu kita merasa kasih sayang yang sejujur-jujurnya dari
mereka yang bergelar ‘keluarga’..^_^
credit picture: favim.com
0 Komen