Didik Hati Untuk Redha.


Bila dugaan itu datang tanpa diundang, puas kita mencari jawapan di mana silapnya. Namun, satu hal yang nyata, ia datang bukan bertujuan untuk melemahkan kita tetapi sebaliknya untuk mendidik kita agar menjadi insan yang lebih tabah dan kuat.  

Bukan mudah didik hati untuk redha, apatah lagi bila diuji dengan sesuatu yang tidak diduga. Kadang ia buat kita rasa lemah, rasa tidak punya harapan lagi. Namun, satu hal yang perlu sentiasa kita sematkan dalam hati bahawa Allah swt tidak akan menguji seseorang melainkan dengan kemampuannya. Sesukar mana pun ujian itu menimpa kita, percaya dan yakinlah bahawa kita sebenarnya mampu untuk menghadapinya.

Sebagaimana Allah swt telah berfirman dalam surah Al-Baqarah, 

"Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya." 
[Surah Al-Baqarah, 2: 286]


"Aku tidak mampu", kata-kata yang terungkap tatkala kita diuji dengan ujian yang teramat berat. Kita punya perasaan untuk bangkit semula, tetapi rasa lemah menguasai diri kita yang akhirnya membawa kita kepada satu tindakan iaitu berputus asa. Namun, jangan biarkan rasa 'tidak mampu' itu menguasai diri kita untuk selama-lamanya kerana kita masih ada peluang selagi kita letakkan pergantungan sepenuhnya itu kepada Allah swt. Tatkala diuji kembalikan semula ingatan kepada Allah swt kerana mungkin sebelum itu kita semakin menjauh dariNya. Maka, kita diuji agar kita sentiasa ingat kepadaNya. Letakkan keyakinan sepenuhnya kepada Allah swt. Dengan izinNya, pasti ujian yang berat itu akan terasa lebih ringan.

Ujian itu datangnya dari Allah swt, maka redhalah jika kita terpilih untuk diuji olehNya.

Kekuatan itu juga datang dari Allah swt, maka mohonlah padaNya.

Sesungguhnya, segala-galanya adalah kepunyaanNya bahkan diri kita ini juga. Maka, di saat merasa tidak mampu, kembalikan jiwamu sepenuhnya kepada Allah swt. Biarlah Dia yang menyembuh dan menjaganya. Sesungguhnya, Allah itu sentiasa ada untuk menolong hamba-hambaNya, cuma terkadang kita sahaja yang tidak berusaha utnuk mendekatiNya.

Redha. Dengan izin Allah, pasti kekuatan itu akan kembali semula!




You Might Also Like

1 Komen