Menanti Pelangi Indah Selepas Hujan.




Jika dalam hidup ini kita boleh memilih dan bukan diberikan pilihan mungkin hanya perkara-perkara yang menggembirakan yang kita inginkan.  Pasti kebahagiaan sahaja yang akan kita pilih dan bukannya kesedihan. Namun, hakikatnya kita tidak punya kemampuan untuk menentukan apa yang kita mahukan dapat kita miliki. Semua itu terletak pada tanganNya, hanya Allah swt sahajalah yang berkuasa untuk menentukan samaada kita mampu memiliki apa yang kita inginkan itu ataupun tidak. Itulah dia kehidupan, mana mungkin kita bergelar seorang hamba jika tidak merasa diuji olehNya dan ujian yang datang itu boleh berbentuk kesusahan ataupun kesenangan. 

"Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan dibiarkan dengan hanya berkata 'Kami telah beriman' sedangkan kamu belum diuji?" (surah Al-Ankabut, Ayat 2 )


Hakikatnya hidup ini adalah ujian. Terpulang pada individu itu sendiri bagaimana mahu menghadapinya. Kadang-kadang ujian itu akan terasa perit sehinggakan diri seperti ingin berputus asa namun mengertilah bahawa segala kesakitan dan kepayahan yang dilalui itu adalah bentuk tarbiah dariNya. Mungkin ia terkadang amat berat untuk dilalui, terasa seperti tiada siapa yang mengerti, tiada tempat untuk bergantung dan berharap namun yakinlah bahawa ada Allah tempat berharap dan memohon pertolongan. Letaklah kebergantungan sepenuhnya kepada Allah setiap masa di kala susah mahupun senang. 

"...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." (Surah Yusuf, Ayat 12)

Mungkin sakit yang dirasa itu tiada siapa yang mengerti, meritih dalam hati namun tiada siapa dapat mendengar namun ketahuilah bahawa Allah itu sentiasa mendengar dan mengetahui isi-isi hati yang tersembunyi. Namun jika Dia tidak memberikan seperti yang dinginkan, usahlah bersedih hati kerana pasti Allah itu lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya yang bersabar. Sesungguhnnya Allah berfirman:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." (Surah Al-Baqarah, Ayat 216)

Bersangka baiklah pada Allah. Apa sekalipun yang kita lalui dalam hidup ini, ingatlah Dia sentiasa ada. Yakin bahawa setiap kesusahan dan kesulitan yang dihadapi pasti Allah akan bukakan jalan penyelesaian selagimana kita mengingatiNya dan taat mengikuti segala perintahNya.  

"Kadang-kadang ALLAH hilangkan sekejap matahari kemudian dia datangkan pula guruh dan kilatPuas kita mencari di mana mataharirupa-rupanya ALLAH nak hadiahkan kita pelangi yang indah"

Lantaran itu, selagi punya ruang dan masa yang mencukupi, dekatkanlah diri kepada Allah. Sesungguhnya, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang. Tabahkan hati, hadapi segala ujian dengan tenang. Redha dan ikhlaslah. In shaa Allah, ada sinar bahagia yang menanti dirimu. Jika bukan di sini, mungkin di sana nanti. Amin...:)




picture: google.com



You Might Also Like

1 Komen

  1. Sesungguhnya bagi setiap kesusahan, ada dua kemudahan... :) Surah Insyirah... :)

    ReplyDelete